Friday, December 16, 2011 | By: Guru Cemerlang @ HSBM

BANTAHAN CUEPACS..........sila klik pada tajuk.....lebih byk info....

Mohon Pihak Cuepacs & Pihak JPA Untuk Review Semula Perkara2 Berikut :
1. PROSPEK
2. Exit Policy
3. Bracketting
4. Kemudahan Cuti Belajar Bergaji Penuh (Utk Golongan Pelaksana)(Perlu diluaskan & tidak tertumpu pada bidang kemahiran shj.)
5. Skim Perkhidmatan Jumud
6. Struktur Gaji (Perlu mempertimbangkan kesamarataan & tidak mementingkan golongan atasan shj.)
7. Kajian Semula Elaun2 Berkaitan (Amaun yang sudah tidak relevan dgn keadaan ekonomi sekarang)
8. KUP (Kenaikan Pangkat Untuk Penyandang) (Timebase perlu diselaras / samarata dengan semua Gred DG/N/J/F)
9. Sistem Pemarkahan SKT (Jangan dibackwardkn jdi spt Sistem SSM dahulu)
10. Rombak Semula Semua Sekali Sistem SBPA

Regards...

TAKLIMAT SPBA

SENYUM....ADA MAKNA


sila klik pada sifir gaji ini ..............

PEKELILING SPBA

PETIKAN PEKELILING SBPA ASAL UNTUK GURU (NEW TERM OF SERVICE FOR TEACHERS)

JPA.SARAAN(S)256/21/17-7 Siri No. :


KERAJAAN MALAYSIA

PEKELILING PERKHIDMATAN BILANGAN 13 TAHUN 201

PELAKSANAAN SARAAN BARU PERKHIDMATAN AWAM
BAGI PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN PERSEKUTUAN

TUJUAN

1. Pekeliling Perkhidmatan ini bertujuan untuk melaksanakan Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) bagi pegawai tetap skim perkhidmatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) dan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD), Perkhidmatan Awam Persekutuan yang melibatkan struktur perkhidmatan merangkumi skim perkhidmatan, syarat perkhidmatan, gaji, elaun, kemudahan, dan persaraan serta faedah persaraan.

LATAR BELAKANG

2. Sebagaimana dijelaskan melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 11 Tahun 2011, Kerajaan telah bersetuju melaksanakan SBPA bertunjangkan penyampaian perkhidmatan yang berpaksikan kepada kepimpinan dinamik, Perkhidmatan Awam kejat, perkhidmatan yang fleksibel, modal insan berkualiti dan saraan yang kompetitif. Ia mengganti Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang berkuat kuasa sejak tahun 2002.

3. Melalui sistem-sistem saraan yang telah dilaksanakan sebelum ini, secara umumnya penumpuan telah diberikan bagi meningkatkan keupayaan dan daya saing Perkhidmatan Awam dengan membuat penambahbaikan-penambahbaikan antaranya kemajuan kerjaya, saraan dan syarat perkhidmatan. Di sepanjang pelaksanaan sistem-sistem ini, Kerajaan turut memberikan perhatian yang tidak kurang pentingnya kepada perkhidmatan pendidikan, dengan banyak penambahbaikan telah dilaksanakan bahkan telah meletakkan perkhidmatan pendidikan dalam agenda pembangunan negara iaitu sebagai salah satu daripada enam (6) Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam Program Transformasi Kerajaan. Melalui program ini, para pendidik diberi pengiktirafan oleh Kerajaan ke atas kepentingan peranan dan tanggungjawab dengan memperkenalkan Bayaran Insentif Tawaran Baru dan Bayaran Insentif Sekolah Berprestasi Tinggi.

4. Justeru itu, dalam SBPA perkhidmatan pendidikan ditambah baik lagi dalam usaha melonjakkan martabat profesion keguruan dan kualiti guru selaku tonggak dalam membina dan memupuk modal insan yang mampu mendepani cabaran mendatang

GLOSARI ISTILAH

“Kemasukan Secara Lantikan Terus Ke Gred Kenaikan Pangkat (Lateral Entry)” bermaksud pelantikan terus ke mana-mana gred kenaikan pangkat dalam sesuatu skim perkhidmatan.

“Klasifikasi Perkhidmatan” bermaksud pengkelasan perkhidmatan berdasarkan persamaan peranan, bidang, fungsi dan pengkhususan.


“Kumpulan Perkhidmatan” bermaksud peringkat perkhidmatan mengikut keutamaan peranan iaitu Kumpulan Premier, Kumpulan Pengurusan Tertinggi, Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan Kumpulan Pelaksana.

“Mata gaji” bermaksud amaun gaji tertentu yang terletak di sesuatu Jadual Gaji.

“Peningkatan Gred Gaji” bermaksud peningkatan suatu gred gaji ke suatu gred gaji yang lebih tinggi dalam skim perkhidmatan yang sama dengan kelulusan Lembaga Kenaikan Pangkat.

“Peningkatan Secara Lantikan (PSL)” bermaksud pelantikan pegawai daripada kumpulan perkhidmatan yang rendah kepada kumpulan perkhidmatan yang lebih tinggi secara pelantikan baharu tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan dalam skim perkhidmatan yang berkaitan. Terma PSL ini mengantikan Kenaikan Pangkat Secara Lantikan (KPSL).

“Pergerakan Gaji Biasa” bermaksud pergerakan gaji daripada mata gaji semasa ke mata gaji berikutnya.

“Skim Perkhidmatan” bermaksud terma dan syarat-syarat pelantikan, pengesahan dan kenaikan pangkat bagi sesuatu jawatan dalam Perkhidmatan Awam.

“Skim Perkhidmatan Bersepadu” bermaksud Skim perkhidmatan yang menggabungkan sekurang-kurangnya dua peringkat kelayakan masuk minimum.


STRUKTUR PERKHIDMATAN

Kumpulan Perkhidmatan

6. Struktur perkhidmatan baru di bawah SBPA yang terbahagi kepada empat (4) kumpulan perkhidmatan iaitu Kumpulan Premier, Kumpulan Pengurusan Tertinggi, Kumpulan Pengurusan dan Profesional, serta dan Kumpulan Pelaksana sepertimana dijelaskan di bawah Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 11 Tahun 2011 adalah turut terpakai bagi perkhidmatan pendidikan.

7. Kumpulan Premier merupakan lapisan teratas dalam struktur Perkhidmatan Awam yang bertindak sebagai Ketua Eksekutif yang menyandang atau memegang strategic and key positions. Bagi perkhidmatan pendidikan, jawatan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (KPPM) adalah tergolong di bawah Kumpulan Premier.

8. Kumpulan Pengurusan Tertinggi terdiri daripada Jawatan Utama dan Jawatan Gred Khas. Jawatan Utama dimaksudkan sebagai jawatan di peringkat pengurusan tertinggi dalam perkhidmatan-perkhidmatan tertentu yang berperanan strategik menerajui jentera pengurusan organisasi. Manakala jawatan Gred Khas pula ditetap berdasarkan pengiktirafan tahap kepakaran dan pengalaman pegawai yang tidak melaksana peranan ataupun tugas yang bersifat pengurusan dan strategik.

9. Gred Turus dalam Jawatan Utama dan Jawatan Gred Khas yang terdiri daripada tiga (3) lapisan iaitu Gred Turus I, II dan III di bawah SSM dipinda kepada satu lapisan Gred Turus di bawah SBPA. Kumpulan Pengurusan Tertinggi Gred Utama/ Khas A, B dan C adalah dikekalkan.

10. Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional adalah dikekal dengan lapisan gred jawatan / gred gaji sebagaimana sedia ada.

11. Bagi melonjakkan prestasi penyampaian Perkhidmatan Awam, Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional telah ditetapkan bidang jawatan masing-masing sebagaimana dinyatakan dalam Jadual 1.

Jadual 1: Kumpulan Perkhidmatan dan Bidang Jawatan
Kumpulan Perkhidmatan Bidang Jawatan
Pengurusan
Tertinggi
Jawatan Utama Strategik
Jawatan Gred Khas Pakar Bidang Khusus
( Subject Matter Expert [SME] )
Pengurusan dan Profesional
Strategik
Pakar Bidang Khusus
( Subject Matter Expert [SME] )
Pengurusan dan Operasi

12. Kumpulan Pelaksana diperkenal bagi menggantikan Kumpulan Sokongan. Lapisan gred bagi Kumpulan Pelaksana adalah dikekalkan mengikut kelayakan masuk minimum seperti ditetapkan dalam skim perkhidmatan.

Rasionalisasi Perkhidmatan


13. Pelaksanaan Perkhidmatan Awam kejat memberi penekanan ke atas saiz Perkhidmatan Awam dan penggunaan tenaga kerja secara optimum. Langkah-langkah ke arah merasionalisasikan saiz Perkhidmatan Awam meliputi penjajaran semula fungsi utama agensi, kajian pertindihan fungsi, pengenalpastian perkhidmatan yang boleh dialih daya dan perekayasaan proses kerja serta semakan skim perkhidmatan.

PENGGELARAN GRED JAWATAN/ GRED GAJI


14. Penggelaran gred jawatan/ gred gaji dikemas kini selaras dengan pembentukan Jadual Gaji Sebaris (JGS) yang menggantikan Jadual Gaji Matriks (JGM). Penggelaran gred jawatan/ gred gaji ini adalah berasaskan syarat kelayakan masuk minimum yang ditetapkan atau yang setara dalam skim perkhidmatan. Setiap peringkat kelayakan masuk minimum diperuntukkan kod seperti di Jadual 2.

Jadual 2: Kod Kelayakan Masuk Minimum

Kelayakan Kod

Ijazah:       1
Diploma:   2

15. Pembentukan gred jawatan/ gred gaji baru ini adalah berdasarkan kombinasi antara kod kelayakan masuk minimum dengan kod gaji. Kod pertama bagi gred jawatan merujuk kepada kelayakan masuk minimum, manakala kod kedua merujuk kepada gred gaji. Pemindahan gred jawatan/ gred gaji sekarang kepada gred baru bagi perkhidmatan pendidikan adalah seperti di Jadual 3.

Jadual 3: Pemindahan Gred Jawatan/ Gred Gaji


Kelayakan Minimum Lapisan Gred SSM Lapisan Gred SBPA

Ijazah
DG54:   DG1-6
DG52:   DG1-5
DG48:   DG1-4
DG44:   DG1-2
DG41:   DG1-1


Diploma
DGA38:   DG2-5
DGA34:   DG2-3
DGA32:   DG2-2
DGA29:   DG2-1

MEMARTABATKAN PROFESION KEGURUAN

16. Sejajar dengan keperluan memartabatkan profesion keguruan, skim perkhidmatan PPPS dan PPPLD yang berkuat kuasa adalah dipinda menjadi skim perkhidmatan bersepadu Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) dengan perubahan-perubahan seperti berikut:

Syarat Lantikan

17. Syarat lantikan di Gred DG1-1 adalah seperti berikut:
17.1 ijazah sarjana muda dalam bidang berkaitan yang diiktiraf oleh Kerajaan daripada institusi pengajian tinggi tempatan serta Diploma Pendidikan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya. Gaji permulaan ditetapkan di T1; atau

17.2 ijazah sarjana muda kepujian dalam bidang berkaitan yang diiktiraf oleh Kerajaan daripada institusi pengajian tinggi tempatan serta Diploma Pendidikan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya. Gaji permulaan ditetapkan di T2; atau

17.3 ijazah sarjana muda kepujian dalam bidang pendidikan yang diiktiraf oleh Kerajaan daripada institusi pengajian tinggi tempatan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya. Gaji Permulaan ditetapkan di T2.

18. Syarat lantikan di Gred DG2-1 adalah seperti berikut:
18.1 diploma dalam bidang pendidikan yang diiktiraf oleh kerajaan daripada institusi perguruan tempatan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya. Gaji permulaan ditetapkan di T1; dan

18.2 diploma dalam bidang berkenaan yang diiktiraf oleh kerajaan daripada institusi pengajian tinggi tempatan serta Diploma Pendidikan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya. Gaji permulaan ditetapkan di T2.

19. Skim perkhidmatan PPP adalah seperti di Lampiran B1 dan format iklan jawatan seperti di Lampiran B2.

Kemajuan Kerjaya

20. Sebagai kesinambungan kepada keperluan transformasi kecemerlangan dalam perkhidmatan pendidikan dan mengambil kira keunikan fungsi tugas PPP, maka kaedah kenaikan pangkat time-based sedia ada, diberi nafas baru di bawah konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru dengan tempoh perkhidmatan dipendekkan berteras Standard Guru Malaysia.


21. PPP terbahagi kepada empat (4) kategori iaitu Guru Biasa, Guru Kanan, Guru Wibawa dan Pendeta Guru seperti di Jadual 4.

Jadual 4: Kategori Guru Dan Gred Gaji

22. PPP boleh dinaikkan pangkat ke gred yang lebih tinggi tanpa kekosongan jawatan berdasarkan kecemerlangan dengan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Lembaga Kenaikan Pangkat mengikut tempoh minimum perkhidmatan yang ditetapkan seperti di Jadual 5.

Jadual 5: Tempoh Kenaikan Pangkat


IJAZAH 

DG1-5 ke DG1-6   3 tahun
DG1-4 ke DG1-5   6 tahun
DG1-2 ke DG1-4   8 tahun
DG1-1 ke DG1-2   8 tahun

DIPLOMA


DG2-3 ke DG2-5:  5 tahun
DG2-2 ke DG2-3:  8 tahun
DG2-1 ke DG2-2:  8 tahun

23. PPP Gred DG2-1, DG2-2, DG2-3 dan DG2-5 boleh dipertimbangkan kenaikan pangkat ke Gred DG1-1 dengan memenuhi syarat lantikan yang ditetapkan dalam skim perkhidmatan.

Kategori Guru Gred Gaji

IJAZAH
Pendeta
Guru Khas
Guru Wibawa:  DG1-6
Guru Kanan:     DG1-4, DG1-5
Guru Biasa:       DG1-1, DG1-2

DIPLOMA
Guru Kanan:      DG2-3, DG2-5
Guru Biasa:        DG2-1, DG2-2

24. PPP Gred DG1-4 dan DG1-5 yang pakar dalam subjek khusus (SME) boleh diberi peningkatan gred gaji dengan lebih cepat daripada tempoh yang ditetapkan ke gred gaji DG1-5 dan DG1-6.


25. PPP boleh dipertimbangkan kenaikan pangkat secara istimewa tanpa kekosongan jawatan ke Gred Khas (Pendeta Guru) tertakluk memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan dalam skim perkhidmatan seperti berikut:

25.1 Guru Wibawa Gred DG1-6 yang menunjukkan kecemerlangan terkemuka mutunya yang ditetapkan; dan

25.2 Guru Kanan Gred DG1-4 dan DG1-5 yang menunjukkan kecemerlangan sangat terkemuka mutunya yang ditetapkan.

Kemasukan Secara Lantikan Terus Ke Gred Kenaikan Pangkat

26. Kemasukan secara lantikan terus ke semua gred kenaikan pangkat (lateral entrytertakluk kepada memenuhi syarat-syarat lantikan yang ditetapkan dalam skim perkhidmatan turut diperuntuk bagi PPP Kumpulan Pengurusan Tertinggi, dan PPP Kumpulan Pengurusan dan Profesional dalam mendapat bakat terbaik dalam Perkhidmatan Awam.

27. Ketua Perkhidmatan hendaklah membentuk kriteria pemilihan kemasukan secara terus ke gred kenaikan pangkat bagi tujuan pengambilan oleh Pihak Berkuasa Melantik.

28. Penetapan gaji permulaan bagi kemasukan secara lantikan terus bagi pegawai yang dilantik kali pertama dan pegawai sedang berkhidmat yang belum disahkan dalam perkhidmatan adalah berdasarkan gaji minimum gred jawatan lantikan terus. Bagi pegawai yang sedang berkhidmat yang telah disahkan dalam perkhidmatan, penetapan gaji adalah pada mata gaji tertinggi berhampiran yang perbezaannya tidak kurang daripada satu pergerakan gaji biasa bagi gred gaji JGS atau tidak kurang daripada 5% bagi gred gaji minimum-maksimum, terhad kepada gaji maksimum gred jawatan lantikan terus.

29. Bagi tujuan pengesahan dalam perkhidmatan, pegawai perlu memenuhi tempoh percubaan yang ditetapkan dan menghadiri Program Transformasi Minda (PTM) dengan jayanya kecuali bagi PPP Pengurusan Tertinggi, pegawai hanya perlu memenuhi tempoh percubaan yang ditetapkan.

Program Bersepadu Potensi Dan Kompetensi


30. Program Bersepadu Potensi dan Kompetensi (PROSPEK) diperkenalkan sebagai sistem baru penilaian kompetensi dan potensi pegawai yang lebih menyeluruh bagi menyandang jawatan di gred yang lebih tinggi. PROSPEK terdiri daripada Penilaian Kompetensi dan Potensi (PKP) dan Pembangunan Kompetensi dan Potensi (BKP). PKP bertujuan untuk mengenal pasti kompetensi dan potensi pegawai, manakala BKP bertujuan membangun dan menilai kompetensi dan potensi pegawai untuk menyandang gred jawatan lebih tinggi.

31. PPP Gred 1-1 hingga Gred 1-5 yang terlibat dengan pentadbiran, pengurusan dan penyeliaan perlu mengikuti PKP dan BKP sebelum dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat. PPP yang tidak terlibat dengan tugas-tugas pentadbiran, pengurusan dan penyeliaan serta PPP Gred 2-1 hingga Gred 2-3 hanya akan dinilai melalui PKP sebelum dipertimbangkan kenaikan pangkat.

Skim Perkhidmatan Yang Dijumudkan Melalui Penggabungan Di Bawah SBPA


32. Dengan penggubalan skim perkhidmatan bersepadu PPP, skim perkhidmatan PPPS dan PPPLD di bawah SSM dijumudkan.

Kedudukan Skim Perkhidmatan Jumud Sebelum SBPA


33. Semua jawatan jumud sebelum SBPA akan dimansuhkan mengambil kira fungsi skim perkhidmatan berkenaan tidak lagi diperlukan. Penyandang jawatan jumud ini akan ditawarkan opsyen bertukar ke skim perkhidmatan berkuat kuasa di bawah SBPA. Sekiranya terdapat penyandang di skim perkhidmatan jumud, Kementerian Pelajaran Malaysia perlu memaklumkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) (Bahagian Pembangunan Organisasi) untuk tindakan susulan.

34. Bagi pegawai dalam kategori ini yang tidak bersetuju menerima opsyen SBPA, pegawai di bawah Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan dibersarakan di bawah seksyen 6A(6) Akta Pencen 1980 (Akta 227) yang dibaca bersama seksyen 10(5)(b) Akta 227. Manakala pegawai di bawah Skim Pencen akan dibersarakan di bawah seksyen 10(5)(b) Akta 227.

PEMBANGUNAN MODAL INSAN

Latihan Sektor Awam

35. Pembangunan latihan berteraskan transformasi minda dan pengukuhan kompetensi bagi membangunkan keupayaan intelektual, kemahiran dan sahsiah akan dilaksanakan melalui strategi-strategi yang akan ditetapkan oleh Ketua Jabatan dari semasa ke semasa.

SARAAN KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA

Gaji

36. Gaji Single Point adalah diperuntuk bagi jawatan KPPM di bawah Kumpulan Premier mengikut terma dan syarat yang ditetapkan dalam Panduan Mengenai Dasar Dan Pelaksanaan Urusan Pelantikan Dan Perkhidmatan Pegawai Kumpulan Premier (selepas ini disebut ‘Panduan’).

37. Prestasi KPPM perlu dinilai untuk menentukan kelestariannya bagi terus menyandang jawatan dalam kumpulan ini serta pemberian bonus tahunan.

38. Sekiranya pegawai bersetuju menerima opsyen bagi pakej saraan dengan terma dan syarat Kumpulan Premier, pegawai diberi gaji, elaun dan kemudahan Kumpulan Premier.

39. Pada 1 Januari 2012, KPPM yang sedang mengisi jawatan tersebut secara kontrak akan ditawar kontrak baru berdasarkan baki tempoh kontrak yang ada dengan terma dan syarat yang ditetapkan dalam Panduan.

Imbuhan Tetap, Elaun, Kemudahan Dan Bonus

40. Imbuhan Tetap Perumahan, Bayaran Bantuan Menyelenggara Rumah, Imbuhan Tetap Keraian, Imbuhan Tetap Jawatan Utama dan Bantuan Pembantu Rumah kepada KPPM adalah dikekalkan. Walau bagaimanapun, Imbuhan Tetap Keraian dan Imbuhan Tetap Jawatan Utama digabungkan menjadi Imbuhan Tetap Jawatan Premier, manakala Imbuhan Tetap Perumahan dan Bayaran Bantuan Menyelenggara Rumah digabungkan menjadi Imbuhan Perumahan Premier. Kadar bagi Imbuhan Tetap Jawatan Premier dan Imbuhan Perumahan Premier serta Bantuan Pembantu Rumah adalah seperti ditetapkan dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 12 Tahun 2011.

41. Selain itu, peruntukan kelayakan elaun, kemudahan dan bonus bagi KPPM adalah seperti di Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 12 Tahun 2011.

Penilaian Prestasi

42. Pelaksanaan pengukuran prestasi bagi KPPM adalah berdasarkan pengukuran berasaskan Petunjuk Prestasi Utama (Key Performance Indicator) dan penilaian prestasi khas oleh panel penilai prestasi atau kaedah lain yang ditentukan oleh Kerajaan dari semasa ke semasa.

SARAAN KUMPULAN PENGURUSAN TERTINGGI

Gaji

43. Jadual Gaji Minimum - Maksimum adalah diperuntuk untuk Jawatan Utama/ Gred Khas di bawah Kumpulan Pengurusan Tertinggi PPP seperti di Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 12 Tahun 2011.

Prinsip Dan Kaedah Pemindahan Gaji Di Bawah SBPA

44. Gaji pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi yang menerima opsyen SBPA akan dipindahkan kepada Jadual Gaji Minimum - Maksimum. Prinsip pemindahan adalah daripada mata gaji akhir di gred gaji asal ke matagaji SBPA yang ditetapkan dalam jadual pemindahan seperti di Lampiran C1.

Tarikh Pergerakan Gaji

45. Tarikh Pergerakan Gaji (TPG) tahunan iaitu pada 1 Januari, 1 April, 1 Julai dan 1 Oktober adalah dikekalkan.

46. Pemindahan gaji kepada Jadual Gaji Minimum - Maksimum tidak mengubah TPG pegawai kecuali bagi mereka yang berada di matagaji maksimum pada 31 Disember 2011 akan diubah TPG kepada 1 Januari.

47. Kaedah pemindahan gaji bagi pegawai yang TPG pada 1 Januari termasuk pegawai yang dinyatakan di perenggan 46 di atas, gaji pegawai dipindahkan ke gaji SBPA mengikut prinsip di perenggan 44 di atas dan kemudian pegawai diberi Kenaikan Gaji Tahunan (KGT).

48. Bagi pegawai yang tarikh kenaikan pangkatnya pada 1 Januari 2012 hendaklah diberi pemindahan gaji kepada gaji SBPA atas gred jawatan setara di SBPA terlebih dahulu, kemudian diberi KGT dan seterusnya ditetapkan gaji permulaan di gred kenaikan pangkat berdasarkan prinsip penetapan gaji kenaikan pangkat.

49. Contoh kaedah pelarasan/penetapan gaji di perenggan 47 dan 48 adalah seperti berikut:

49.1 Kaedah Pelarasan Gaji Bagi TPG Yang Sama Dengan Tarikh Kuat Kuasa SBPA. - Lampiran C2

49.2 Kaedah Penetapan Gaji Bagi Tarikh Kenaikan Pangkat Yang Sama Dengan Tarikh Kuat Kuasa SBPA.
- Lampiran C3

Kenaikan Gaji Tahunan

50. Sejajar dengan tujuan untuk menjadikan pegawai berprestasi tinggi, konsep Gaji Berasaskan Prestasi diperkenalkan di mana KGT bagi Kumpulan Pengurusan Tertinggi ditetapkan mengikut pencapaian prestasi berdasar peratusan.

51. KGT diberi kepada pegawai yang mencapai prestasi sekurang-kurangnya Menepati Sasaran dengan kadar KGT di Jadual 6 tertakluk kepada gaji maksimum dalam Jadual Gaji Minimum - Maksimum.

Jadual 6: Peratusan Kenaikan Gaji Tahunan
Prestasi % KGT


Melebihi Sasaran Secara Signifikan(Significantly Exceed Target) 15% daripada gaji 


Melebihi Sasaran (Exceed Target) 8% daripada gaji


 Menepati Sasaran (On Target) 5% daripada gaji

52. Pegawai yang tidak menepati sasaran, tidak diberi KGT.

53. Formula penentuan amaun KGT ialah:
Amaun KGT hendaklah dibundarkan kepada RM5.00 tertinggi terhampir.

54. Contoh pemberian KGT adalah seperti di Lampiran C4.
Kenaikan Gaji Tahunan 2012

55. KGT 2012 bagi pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi adalah pada kadar 5% daripada gaji kecuali mereka yang berprestasi rendah.

Amaun KGT = % KGT x Gaji Pokok

Imbuhan Tetap, Elaun Dan Kemudahan

56. Pelaksanaan SBPA tidak mengubah pemberian Imbuhan Tetap, elaun dan kemudahan yang sedang berkuat kuasa. Walau bagaimanapun, terdapat pindaan bagi kadar dua (2) bayaran insentif yang ditetap berdasarkan gaji pokok yang terpakai bagi Kumpulan Pengurusan Tertinggi PPP iaitu Bayaran Insentif Pedalaman dan Bayaran Insentif Wilayah adalah ditambat pada kadar gaji bulan Disember 2011.


Penetapan Gaji Bagi Kenaikan Pangkat

57. Gaji yang diterima oleh seseorang pegawai yang dinaikkan pangkat hendaklah lebih tinggi daripada gaji akhir yang diterima dalam gred terdahulu:

57.1 Jika gaji hakiki dalam gred/ pangkat terdahulu adalah kurang daripada gaji minimum dalam gred kenaikan pangkat dan perbezaan itu adalah sama dengan atau lebih daripada 5% daripada gaji hakiki dalam gred/ pangkat terdahulu, pegawai itu hendaklah dibayar gaji minimum dalam gred kenaikan pangkat itu.

57.2 Jika gaji hakiki dalam gred/ pangkat terdahulu kurang daripada gaji minimum dalam gred kenaikan pangkat tetapi perbezaannya adalah kurang daripada 5% daripada gaji dalam gred terdahulu, pegawai itu hendaklah dibayar gaji di gred/ pangkat kenaikan pangkat yang sama dengan gaji hakiki ditambah 5%
daripada gaji hakiki.

57.3 Jika gaji hakiki dalam gred/ pangkat terdahulu sama atau lebih lebih tinggi daripada gaji minimum dalam gred kenaikan pangkat, pegawai itu hendaklah dibayar gaji dengan penambahan 5% daripada gaji hakiki di gred/ pangkat terdahulu.

58. Bagi kenaikan pangkat dari PPP Kumpulan Pengurusan dan Profesional ke Kumpulan Pengurusan Tertinggi, kaedah penetapan gaji kenaikan pangkat dikekalkan sepertimana prinsip yang sedang berkuat kuasa.

Penilaian Prestasi

59. Pengukuran prestasi bagi Kumpulan Pengurusan Tertinggi adalah menggunakan pengukuran berasaskan Petunjuk Prestasi Utama (Key Performance Indicator) yang digabungkan dalam borang Laporan Penilaian Prestasi Tahunan (LNPT) atau kaedah lain yang ditentukan oleh Kerajaan dari semasa ke semasa.

SARAAN KUMPULAN PENGURUSAN DAN PROFESIONAL SERTA KUMPULAN PELAKSANA


Gaji Sebaris

60. JGS adalah dibentuk bagi menggantikan JGM sedia ada turut terpakai bagi PPP.

61. Struktur JGS mempunyai ciri-ciri seperti berikut:

61.1 mata gaji mengikut susunan Tangga (T) dalam sebaris bagi setiap gred gaji.

61.2 bilangan Tangga (T) yang sama di gred gaji yang sama dalam semua Klasifikasi Perkhidmatan.

61.3 kadar KGT yang sama bagi setiap gred yang setaraf dalam semua Klasifikasi Perkhidmatan dengan pola peningkatan KGT lebih baik berbanding gred lebih rendah.

62. JGS untuk skim perkhidmatan PPP adalah seperti di Lampiran C5.


Prinsip Pemindahan Gaji
63. Prinsip pemindahan gaji di bawah opsyen SBPA adalah daripada matagaji yang akhir diterima di gred gaji asal kepada matagaji tertinggi berhampiran dalam JGS, dengan perbezaannya tidak kurang daripada satu (1) Pergerakan Gaji Biasa di gred gaji asal.

Kaedah Pemindahan Gaji Dan Tarikh Pergerakan Gaji
64. Bagi maksud pemindahan gaji ke JGS pada 1 Januari 2012, PPP diberikan satu Pergerakan Gaji Biasa di gred gaji asal dan kemudiannya dipindahkan kepada JGS berdasarkan mata gaji yang sama dan sekiranya tiada matagaji sama, penetapan adalah pada mata gaji tertinggi berhampiran.

65. Bagi PPP yang berada di matagaji maksimum jadual gaji asal, PPP diberikan kuantum satu Pergerakan Gaji Biasa di gred gaji asal dan kemudiannya dipindahkan kepada JGS berdasarkan matagaji yang sama dan sekiranya tiada matagaji sama, penetapan adalah pada mata gaji tertinggi berhampiran.

66. PPP yang tarikh kenaikan pangkatnya pada 1 Januari 2012 hendaklah diberi pemindahan gaji dari mata gaji di gred hakiki kepada mata gaji di gred setara SBPA terlebih dahulu dan seterusnya ditetapkan gaji permulaan di gred kenaikan pangkat berdasarkan prinsip kenaikan pangkat di atas gaji SBPA.

67. Contoh kaedah pemindahan gaji di perenggan 64, 65 dan 66 adalah seperti di Lampiran C6.

68. TPG tahunan iaitu pada 1 Januari, 1 April, 1 Julai dan 1 Oktober adalah dikekalkan.

69. Pemindahan JGM kepada JGS tidak mengubah TPG PPP kecuali dalam keadaan berikut:

69.1 PPP yang telah berada di mata gaji maksimum pada 31 Disember 2011 akan diubah TPG kepada 1 Januari.

69.2 PPP yang terlibat dengan pemindahan gaji daripada dua (2) atau lebih mata gaji JGM kepada satu (1) mata gaji baru yang sama di JGS. TPG PPP ditetapkan kepada TPG baru.

70. Jadual pemindahan JGM kepada JGS dan penetapan TPG adalah seperti Lampiran C7.

Pergerakan Gaji Tahunan


71. Di bawah SBPA hanya satu jenis Pergerakan Gaji Tahunan diberikan iaitu Pergerakan Gaji Biasa. Pegawai yang tidak mencapai prestasi yang ditetapkan tidak layak menerima pergerakan gaji. Pergerakan Gaji Tahunan bagi tahun 2012 hendaklah diberi mengikut TPG yang telah ditetapkan seperti di perenggan 68, 69 dan 70.

Jadual Gaji Khas Untuk Penyandang


72. Mulai pelaksanaan SBPA, tiada lagi Jadual Gaji Khas Untuk Penyandang (KUP) diwujudkan untuk kes-kes kenaikan pangkat, pertukaran pelantikan, pertukaran sementara, peminjaman, pertukaran tetap dan Peningkatan Secara Lantikan (PSL). Bagi kes-kes tersebut, penetapan/ tawaran gaji adalah tertakluk kepada gaji maksimum JGS di gred yang ditawarkan.

73. Bagi tujuan tawaran opsyen SBPA kepada pegawai yang berada di jadual gaji SSM secara KUP, pemindahan gaji hendaklah dilaksanakan seperti mana pegawai yang berada di mata gaji maksimum di bawah SSM mengikut prinsip-prinsip seperti di perenggan 65 dan 69.1.

74. Ketua Jabatan hendaklah memohon Jadual Pemindahan Gaji daripada JPA (Bahagian Saraan) bagi keadaan berikut:

74.1 pegawai yang gajinya tidak diperuntukkan dalam Jadual Pemindahan Gaji di Lampiran C7.

74.2 pegawai yang berada dalam keadaan di perenggan 73 di atas.

74.3 pegawai yang gajinya di bawah Laporan Gaji Jawatankuasa Kabinet 1976 (Laporan JKK 1976) dan Sistem Saraan Baru (SSB) yang menerima tawaran opsyen SBPA.

Pegawai Lantikan Kontrak (Contract of Service)

75. PPPS dan PPPLD lantikan kontrak (contract of service) yang skim perkhidmatannya dijumudkan melalui penggabungan sebagai PPP di bawah SBPA, pelantikan semula perlu dibuat dengan Ketua Jabatan mengemukakan terus kepada Pihak Berkuasa Melantik mengikut baki tempoh kontrak sedia ada. Penetapan gaji pegawai ditentukan mengikut kaedah pemindahan gaji SBPA.

76. Kaedah ini tidak terpakai bagi KPPM yang jawatannya dijadikan jawatan dalam Kumpulan Premier.

IMBUHAN TETAP DAN ELAUN

77. Prinsip, kadar dan syarat-syarat bayaran Imbuhan Tetap yang berkuat kuasa dikekalkan di bawah SBPA.

78. Syarat-syarat dan peraturan pelaksanaan Imbuhan Tetap bagi PPP hendaklah merujuk kepada Pekeliling Perkhidmatan, Surat Pekeliling Perkhidmatan, surat edaran atau surat pelaksanaan yang berkuat kuasa bagi PPPS dan PPPLD. Senarai Imbuhan Tetap adalah seperti di Lampiran D1.

79. Syarat-syarat dan peraturan pelaksanaan elaun bagi PPP hendaklah merujuk kepada Pekeliling Perkhidmatan, Surat Pekeliling Perkhidmatan, surat edaran atau surat pelaksanaan yang berkuat kuasa bagi PPPS dan PPPLD. Senarai elaun adalah seperti di Lampiran D2.

80. Sebarang pindaan kepada peraturan pelaksanaan mengenai pemberian elaun dan bayaran insentif serta skop pemakaiannya akan dikeluarkan secara berasingan.

Bayaran Insentif Yang Ditambatkan Kadar

81. Kadar bagi empat (4) bayaran insentif yang ditetap berdasarkan gaji pokok iaitu Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal, Bayaran Insentif Subjek Pendidikan, Bayaran Insentif Pedalaman dan Bayaran Insentif Wilayah adalah ditambat pada kadar gaji bulan Disember 2011.

82. Syarat Pemberian Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal adalah sebagaimana yang ditetapkan dalam Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 17 Tahun 2007 manakala Bayaran Insentif Subjek Pendidikan adalah sebagaimana yang ditetapkan dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 15 Tahun 2002.

KEMUDAHAN

83. Kemudahan adalah diberi atas prinsip keistimewaan dan bukan merupakan hak seseorang pegawai. Ia boleh ditarik balik pada bila-bila masa jika perlu. Semua kemudahan yang berkuat kuasa dikekalkan.

84. Syarat-syarat dan peraturan pelaksanaan kemudahan bagi PPP hendaklah merujuk kepada Pekeliling Perkhidmatan, Surat Pekeliling Perkhidmatan, surat edaran atau surat pelaksanaan yang berkuat kuasa bagi PPPS dan PPPLD. Senarai kemudahan adalah seperti di Lampiran E.

SYARAT-SYARAT PERKHIDMATAN

Tempoh Percubaan

85. Mulai tarikh kuat kuasa SBPA, PPP yang dilantik secara tetap dikehendaki berkhidmat dalam tempoh percubaan antara enam (6) bulan hingga 24 bulan. PPP boleh disahkan dalam perkhidmatan setelah melalui tempoh percubaan sekurang-kurangnya enam (6) bulan dan memenuhi syarat pengesahan lain yang ditetapkan.

86. PPP yang masih tidak dapat disahkan dalam perkhidmatan setelah tamat tempoh percubaan maksimum 24 bulan, boleh dilanjutkan tempoh percubaan tidak melebihi tempoh 12 bulan.

87. PPP yang dilantik tetap tetapi belum disahkan dalam perkhidmatan mulai tarikh kuat kuasa SBPA dan bersetuju menerima SBPA, tempoh percubaan dan pengesahan dalam perkhidmatan adalah seperti berikut:

87.1 PPP boleh disahkan pada atau selepas tarikh kuat kuasa SBPA tertakluk telah berkhidmat dalam tempoh percubaan enam (6) bulan atau lebih dan memenuhi semua syarat pengesahan dalam perkhidmatan di bawah SSM.

87.2 PPP yang telah berkhidmat dalam tempoh percubaan selama 24 bulan atau lebih tetapi belum memenuhi syarat pengesahan dalam perkhidmatan, dibenar menghabiskan baki tempoh percubaan asal di bawah SSM atau baki tempoh yang dilanjutkan oleh Pihak Berkuasa Melantik dan PPP boleh disahkan sekiranya telah memenuhi semua syarat pengesahan dalam perkhidmatan.

Program Transformasi Minda
88. Program Transformasi Minda (PTM) diperkenalkan sebagai satu pendekatan untuk memberi pendedahan dan penyesuaian minda pegawai di peringkat awal pelantikan dalam Perkhidmatan Awam. Program ini dibentuk bagi membolehkan pegawai memahami falsafah dan prinsip pembentukan negara, sistem pentadbiran Kerajaan dan peraturan-peraturan asas Perkhidmatan Awam serta pembentukan jati diri bagi menghadapi cabaran dan ekspektasi pelanggan. PTM menjadi salah satu daripada syarat pengesahan dalam perkhidmatan bagi menggantikan Kursus Induksi.

Penilaian Prestasi
89. Sistem penilaian prestasi baru yang lebih menyeluruh diperkenalkan meliputi penggunaan kaedah pelbagai penilai (multi-rater), KPI dan LNPT yang ditambah baik. Sistem penilaian prestasi baru ini lebih inklusif, adil dan telus selaras dengan keperluan perkhidmatan dan mengandungi elemen baru kompetensi seperti idea inovatif dan kreatif serta sumbangan aktif pegawai di luar tugas rasmi.

Pingat Perkhidmatan Cemerlang
90. Selain daripada Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Pingat Perkhidmatan Cemerlang diperkenalkan bagi mengiktiraf sumbangan pegawai yang melangkaui kebiasaan kepada perkhidmatan, masyarakat dan negara.

DASAR PEMISAH (EXIT POLICY)
91. Bagi memastikan kecemerlangan penyampaian Perkhidmatan Awam, Kerajaan memperkukuhkan dasar pemisah dengan mengambil tindakan tegas untuk mengeluarkan pegawai berprestasi rendah dan bermasalah. Dasar ini juga menyediakan laluan keluar bagi pegawai berprestasi yang tiada peluang kemajuan kerjaya serta pegawai yang menghadapi masalah kesihatan yang menjejaskan keupayaannya untuk menjalankan tugas.

PERSARAAN DAN FAEDAH PERSARAAN

Umur Persaraan Paksa 60 Tahun
92. Bagi pegawai yang dilantik pada atau selepas 1 Januari 2012, umur persaraan paksa adalah 60 tahun. Bagi pegawai yang kini tertakluk kepada umur persaraan paksa 55 tahun, 56 tahun atau 58 tahun, pegawai akan ditawar opsyen melanjutkan perkhidmatan sehingga umur persaraan paksa 60 tahun. Borang opsyen pelanjutan umur persaraan paksa 60 tahun seperti di Lampiran F.

Kebolehalihan

93. Selaras dengan hasrat untuk meningkatkan lagi mobiliti pegawai dalam perkhidmatan, Kerajaan bersetuju untuk memansuhkan dasar pelepasan dengan izin dan menggantikannya dengan dasar pelepasan jawatan berkuat kuasa 1 Januari 2012. Pemansuhan dasar ini membolehkan tempoh perkhidmatan pegawai diambil kira bagi tujuan perkiraan faedah persaraan dengan syarat pegawai dilantik semula dalam Perkhidmatan Awam.

94. Dari segi pelaksanaan, pegawai perlu memaklumkan kepada Ketua Jabatan secara bertulis mengenai hasratnya untuk meninggalkan jawatan yang disandang bagi tujuan menerima pelantikan baru dalam Perkhidmatan Awam. Pelepasan jawatan tersebut akan berkuat kuasa mulai tarikh pegawai dilantik ke jawatan baru itu. Manakala, pegawai yang akan dilantik ke Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan serta pegawai yang berhenti daripada Perkhidmatan Awam hendaklah meletak jawatan.

95. Bagi pegawai yang melepaskan jawatan atau meletakkan jawatan dan kemudiannya dilantik semula pada atau selepas 1 Januari 2012, tempoh perkhidmatan lepas yang terputus boleh dimasuk kira bagi maksud penghitungan faedah persaraan.

Pembayaran Pencen Kepada Pesara Pilihan Diawalkan
96. Pegawai yang dilantik pada atau selepas 12 April 1991 dan kemudiannya bersara pilihan akan dibayar pencen apabila mencapai umur 55 tahun.

Pengiraan Faedah Persaraan Bagi Persaraan Atas Kehendak Kerajaan
97. Pegawai yang dikehendaki oleh Kerajaan untuk dibersarakan atas alasan kepentingan negara atau demi kepentingan Perkhidmatan Awam diberi faedah persaraan yang dikira berdasarkan tempoh perkhidmatan seolah-olah pegawai itu berkhidmat sehingga mencapai umur persaraan paksa yang terpakai baginya.


TAWARAN OPSYEN
Opsyen

98. Opsyen hanya akan diberi kepada PPPS dan PPPLD lantikan tetap yang sedang berkhidmat pada 1 Januari 2012 termasuk pegawai dalam percubaan, tukar sementara dan peminjaman.

99. Bagi PPPS dan PPPLD yang bersara, meletak jawatan atau dibuang kerja berkuat kuasa pada 1 Januari 2012 atau sebelumnya, opsyen tidak ditawarkan kerana pegawai tidak lagi berada dalam perkhidmatan pada 1 Januari 2012.

Tempoh Opsyen

100. Opsyen hendaklah dibuat dalam tempoh 15 hari mulai 16 Disember 2011 hingga 30 Disember 2011.

101. Tawaran opsyen kepada semua pegawai yang layak akan diuruskan oleh pengurus sumber manusia Kementerian atau Jabatan masing-masing. Sekiranya Kementerian Pelajaran Malaysia menyediakan aplikasi penawaran opsyen secara online, dokumen opsyen termasuk surat tawaran yang lengkap boleh dimuat turun daripada laman web Kementerian Pelajaran Malaysia. Adalah menjadi tanggungjawab pegawai untuk mengisi pilihan opsyen sama ada menerima atau tidak menerima opsyen dan menandatangani Borang Opsyen serta Surat Akuan Penerimaan Surat Tawaran Opsyen. Borang dan surat yang telah lengkap diisi hendaklah dicetak dan dikembalikan kepada pengurus sumber manusia di Kementerian atau Jabatan masing-masing sebelum atau pada 30 Disember 2011.

Opsyen Bagi Skim Perkhidmatan Yang Digabung, Dinaik Taraf, Penarafan Semula
Atau Pemansuhan Fungsi

102. PPPS dan PPPLD akan ditukar ke skim perkhidmatan bersepadu PPP melalui opsyenSBPA dan pegawai akan ditawarkan dokumen opsyen seperti berikut:

102.1 Surat Tawaran Opsyen SBPA. - Lampiran G1

102.2 Surat Akuan Oleh Pegawai Mengenai Penerimaan Surat Tawaran Opsyen SBPA. - Lampiran G2

102.3 Borang Opsyen SBPA. - Lampiran G3

102.4 Surat Akuan Oleh Ketua Jabatan Mengenai Penerimaan Borang Opsyen SBPA Daripada Pegawai.
- Lampiran G4

103. Bagi PPPS dan PPPLD yang tidak bersetuju menerima opsyen SBPA akan kekal atas skim perkhidmatan asal, serta tertakluk kepada terma dan syarat perkhidmatan sistem saraan yang terpakai bagi pegawai sebelum 1 Januari 2012.

Opsyen Bagi Jawatan Jumud Sebelum Pelaksanaan SBPA Dan Dihapuskan Jawatan
104. Bagi skim perkhidmatan jumud semasa Laporan Gaji JKK 1976, SSB dan SSM serta dihapuskan jawatannya, pegawai akan ditukarkan ke skim perkhidmatan di bawah SBPA melalui opsyen SBPA.

Pegawai Yang Memenuhi Syarat Skim Perkhidmatan Di Bawah SBPA
104.1 Pegawai yang berada dalam skim perkhidmatan jumud dan memenuhi syarat skim perkhidmatan di bawah SBPA, dokumen opsyen ke skim perkhidmatan baru adalah seperti berikut:
a. Surat Tawaran Opsyen SBPA. - Lampiran H1
b. Surat Akuan Oleh Pegawai Mengenai Penerimaan Surat Tawaran Opsyen SBPA.  - Lampiran H2
c. Borang Opsyen SBPA. - Lampiran H3
d. Surat Akuan Oleh Ketua Jabatan Mengenai Penerimaan Borang Opsyen SBPA Daripada Pegawai.
- Lampiran H4

Pegawai Yang Belum Memenuhi Syarat Skim Perkhidmatan Di Bawah SBPA


104.2 Pegawai yang berada dalam skim perkhidmatan jumud dan belum memenuhi syarat skim perkhidmatan di bawah SBPA, dokumen opsyen ke skim perkhidmatan baru adalah seperti berikut:
a. Surat Tawaran Opsyen SBPA. - Lampiran J1
b. Surat Akuan Oleh Pegawai Mengenai Penerimaan Surat Tawaran Opsyen SBPA.  - Lampiran J2
c. Borang Opsyen SBPA. - Lampiran J3
d. Surat Akuan Oleh Ketua Jabatan Mengenai Penerimaan Borang Opsyen SBPA Daripada Pegawai.
- Lampiran J4

105. Bagi pegawai dalam kategori ini yang tidak bersetuju menerima opsyen SBPA, pegawai di bawah Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan dibersarakan di bawah seksyen 6A(6) Akta Pencen 1980 (Akta 227) yang dibaca bersama seksyen 10(5)(b) Akta 227. Manakala pegawai di bawah Skim Pencen akan dibersarakan di bawah seksyen 10(5)(b) Akta 227.

Syarat-syarat Opsyen

106. Opsyen hendaklah dibuat tanpa syarat. Pegawai disifatkan sebagai tidak bersetuju menerima opsyen SBPA sekiranya tidak membuat pilihan atau membuat pilihan secara tidak jelas (menanda di luar ruangan yang sepatutnya atau menanda di kedua-dua ruangan) atau dengan bersyarat atau dengan bantahan atau dengan pindaan. Pegawai juga disifatkan sebagai tidak bersetuju menerima opsyen SBPA jika tidak mengembalikan borang opsyen kepada Ketua Jabatan tanpa sebarang sebab yang munasabah sebelum atau pada 30 Disember 2011.


107. Opsyen yang ditawarkan kepada pegawai adalah berdasarkan kepada maklumat perkhidmatan dalam borang opsyen. Sekiranya maklumat yang dikemukakan tidak tepat dan menyebabkan tawaran yang salah diberikan, maka tawaran tersebut hendaklah dianggap tidak sah dan terbatal. Ketua Jabatan hendaklah memberikan borang opsyen baru kepada pegawai untuk membuat pemilihan dan menandatanganinya.


108. Opsyen hendaklah dibuat oleh pegawai yang berkenaan. Sekiranya terbukti terdapat pegawai lain yang membuat pilihan dan menanda tangan borang opsyen bagi pihak pegawai yang berkenaan, pegawai yang menanda tangan borang opsyen bagi pihak pegawai berkenaan boleh dikenakan tindakan tatatertib. Opsyen tersebut hendaklah dianggap tidak sah dan terbatal. Ketua Jabatan hendaklah memberikan borang opsyen baru kepada pegawai untuk membuat pemilihan dan menandatanganinya.

Pelaksanaan Opsyen

109. Pelaksanaan opsyen adalah seperti berikut:

109.1 bagi PPPS atau PPPLD yang telah menerima opsyen ini dan kemudiannya meletak jawatan atau ditamatkan perkhidmatan atau dibuang kerja sebelum 1 Januari 2012, maka tawaran ini adalah dengan sendirinya terbatal.

109.2 bagi PPPS atau PPPLD yang ditahan kerja atau digantung kerja oleh Pihak Berkuasa Tatatertib sebelum 1 Januari 2012, apa-apa faedah yang layak diberi kepada pegawai akan diselaraskan dengan sewajarnya melainkan jika Pihak Berkuasa Tatatertib mengenakan hukuman buang kerja kepada pegawai yang berkuat kuasa sebelum 1 Januari 2012.

109.3 bagi PPPS atau PPPLD yang dikenakan perintah tahanan, kediaman terhad, buang negeri, deportasi atau apa-apa bentuk perintah sekatan atau pengawasan sama ada dengan bon atau selainnya di bawah mana-mana undang-undang yang berkuat kuasa sebelum 1 Januari 2012, apa-apa faedah yang layak diberi akan diselaraskan dengan sewajarnya melainkan jika Pihak Berkuasa Tatatertib mengenakan hukuman buang kerja kepada pegawai yang berkuat kuasa sebelum 1 Januari 2012.

109.4 bagi PPPS atau PPPLD yang dibuktikan tidak menerima dokumen opsyen atas sebab-sebab tertentu yang tidak dapat dielakkan, maka borang opsyen hendaklah diberi kepada pegawai walaupun tempoh opsyen telah tamat dengan syarat pegawai masih berkhidmat pada atau selepas 1 Januari 2012. Tempoh opsyen bagi pegawai berkenaan adalah 15 hari daripada tarikh pegawai menerima borang opsyen.

109.5 bagi PPPS atau PPPLD yang belum membuat opsyen dan dalam tempoh opsyen itu pegawai sakit yang menyebabkan pegawai tidak berkeupayaan untuk membuat opsyen, tidak sedarkan diri atau koma dan pegawai kemudiannya meninggal dunia pada atau selepas 1 Januari 2012, pegawai adalah disifatkan sebagai telah menerima skim perkhidmatan serta terma dan syarat perkhidmatan SBPA.

109.6 bagi PPPS atau PPPLD yang belum dan juga telah membuat opsyen tetapi telah meninggal dunia sebelum 1 Januari 2012, maka tawaran dan opsyen yang telah dibuat adalah dengan sendirinya terbatal.

109.7 bagi pegawai lantikan sementara, kontrak, Pekerja Sambilan Harian dan kaedah pelantikan bukan tetap yang lain tidak layak ditawarkan opsyen.

Pegawai Yang Cuti Berkursus, Cuti Separuh Gaji Atau Cuti Tanpa Gaji Dalam
Tempoh Opsyen

110. PPPS atau PPPLD yang cuti berkursus, cuti separuh gaji atau cuti tanpa gaji, opsyen hendaklah ditawarkan oleh Ketua Jabatan terakhir pegawai bertugas/ ditempatkan.

Opsyen Muktamad

111. Opsyen yang dibuat oleh pegawai adalah muktamad.

Pemakaian Kepada Pegawai Yang Tidak Bersetuju Menerima SBPA


112. Perkara yang disenaraikan ini yang akan juga terpakai kepada pegawai yang tidak bersetuju menerima SBPA:


112.1 Penjumudan Skim Perkhidmatan.


112.2 Bayaran Insentif Yang Ditambatkan Kadar.


112.3 Program Transformasi Minda.


112.4 Penilaian Prestasi.


112.5 Pingat Perkhidmatan Cemerlang.


112.6 Dasar Pemisah.


112.7 Umur Persaraan Paksa 60 Tahun.


112.8 Kebolehalihan.


112.9 Pembayaran Pencen Kepada Pesara Pilihan Diawalkan.


112.10 Pengiraan Faedah Persaraan Bagi Persaraan Atas Kehendak Kerajaan.

TARIKH KUAT KUASA

113. Pekeliling Perkhidmatan ini berkuat kuasa mulai 1 Januari 2012.

PEMAKAIAN
114. Tertakluk kepada penerimaannya oleh pihak berkuasa masing-masing, peruntukan Pekeliling Perkhidmatan ini pada keseluruhannya dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Negeri dan Pihak Berkuasa Berkanun, kecuali bagi persaraan dan faedah persaraan seperti di perenggan 92 hingga 97 di atas hendaklah dipakai oleh semua Perkhidmatan Negeri dan Pihak Berkuasa Berkanun.

115. Pekeliling Perkhidmatan ini hendaklah dibaca bersama dengan pekeliling-pekeliling lain yang berkaitan yang dikeluarkan oleh Kerajaan dari semasa ke semasa.


“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”


(TAN SRI ABU BAKAR BIN HAJI ABDULLAH)
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia
JABATAN PERKHIDMATAN AWAM MALAYSIA
PUTRAJAYA
Disember 2011


Semua Ketua Setiausaha Kementerian


Semua Y.B. Setiausaha Kerajaan Negeri
Semua Pihak Berkuasa Berkanun